pages

Cerpen: Last Crying

Nukilan: Hidayatun Nadhirah


Awan berarak mendung. Langit bumi bertukar warna. Kelam. Hiba menyelubungi suasana. Semua mata terarah pada satu jasad yang kini sedang menangis hiba. Tersendu-sendu dalam tangisan. Semua yang ada hanya mampu diam. Membiarkan saja dia luahkan segala kedukaan dan kepiluan hati itu.

Nuha di sebelah mengusap-usap bahu dengan harapan semangat mampu disalurkan bagi menguatkan teman yang sedang meratapi pemergian insan yang disayanginya.

"Kenapa begitu cepat Zaim pergi tinggalkan Syifa’?" Dia menyoal bersama tangisan yang masih belum reda.

Sebingkai gambar mempamerkan wajah riangnya bersama Zaim di majlis perkahwinan mereka beberapa bulan yang lalu didakap erat. Dada terasa sebu. Hati terasa seperti dihiris sembilu. Menyakitkan. Pedih!

Semua ni seperti mimpi. Sebuah mimpi ngeri. Argh, tidak! Ini realiti. Sebuah ketetapan yang berlaku menguji kekuatan diri. Menguji kecekalan hati. Menguji keimanan yang sering dituturi. Ini adalah ketetapan yang tidak mampu disangkal lagi. Kerana ia adalah ketetapan hakiki.

"Sabar Syifa’. Allah lebih sayangkan Zaim." Ayuni memujuk.

"Kenapa Allah uji aku macam ni sekali? Aku tak mampu nak hadapi semua ni. Aku tak kuat. Aku lemah. Aku terseksa!"

Syifa’ terus menangis. Terus meratap.

"Andai Allah tu mengetahui, jadi kenapa Allah tetap pilih aku untuk hadapi ujian ini? Dia tahu aku akan terseksa. Aku akan merana atas kehilangan ni…"

Syifa’ hilang pertimbangan. Kesedihan dan kedukaan itu telah membutakan hati sehingga mewujudkan persoalan yang tidak sepatutnya dipersoalkan. Syifa’ bukannya mereka yang tidak kenal agama. Dia tahu agama. Hidupnya berlatarkan ajaran agama.

Namun, harus bagaimana lagi. Semua itu membuktikan dia juga manusia biasa. Yang kadang-kala mempersoalkan mengapa dia yang perlu melalui episod pilu ini. Mengapa dia dipilih untuk diuji dengan ujian mendukakan ini.

Kehilangan Zaim benar-benar memberi kejutan yang hebat buat Syifa’. Kegembiraan yang baru sahaja dikecapi seakan diragut kasar. Impian bersatu dengan Zaim yang baru sahaja digapai musnah begitu sahaja.

Zaim kembali bertemu pencipta-Nya ketika dalam perjalanan pulang dari Amsterdam. Cuti kali ini, dia memilih untuk pulang ke Malaysia. Rindu pada wanita yang baru sahaja diperisterikannya menguatkan lagi keinginan untuk pulang.

Jujur, dia tidak betah bertahan dalam perhubungan jarak jauh. Namun, apakan daya. Tuntutan bagi meneruskan pengajian Sarjana yang berbaki setahun setengah perlu diteruskan. Dia paksa diri untuk bersabar buat seketika waktu. Paksa diri untuk bertahan.

"InshaAllah, jika jodoh panjang, kami akan terus bersatu. Akan terus bersama. Bersabarlah." Itulah kata-kata yang selalu dituturkan bila rindu menghimpit segenap sanubari.

Zaim pulang dengan hasrat yang menggunung. Dia ingin mengembirakan wanita yang dicintainya. Pulangnya juga untuk mengubat rindu yang sekian lama dipendam dan ditahan.

Sesungguhnya manusia tidak mampu menduga apa yang bakal berlaku dalam kehidupan mereka. Semua itu di luar batas keupayaan mereka. Akal manusia tidak mampu membayangkan apa yang belum berlaku pada masa mendatang. Sungguh semua itu hanya berada di dalam pengetahuan Allah SWT.

Tidak ada sesiapa pun yang mengetahui malang tidak berbau bakal berlaku pada hari kejadian termasuklah Zaim.

Ketika dalam penerbangan dari Amsterdam, pesawat yang dinaiki Zaim terhempas jatuh. Tragedi tersebut telah mengorbankan seluruh isinya. Dikhabarkan, 90 peratus daripada ratusan mayat sudah berubah dari segi sifat dan fizikal. Jasad Zaim menerima nasib yang sama. Hilang bentuk asal.

Berita tentang tragedi nahas itu terus tersebar dengan begitu cepat. Sekelip mata. Sebaik sahaja berita itu mengetuk gegendang telinga Syifa’. Dia terus tidak sedarkan diri. Berjam-jam lamanya dia pengsan sebelum bangkit dan terus menangis tanpa henti.

Seminggu berlalu. Namun, Syifa’ masih tetap sama. Berkurung dalam bilik. Menangis sambil memegang baju peninggalan arwah suaminya. Perkara yang sama dilakukan Syifa’ bagi mengisi masanya sejak seminggu yang lalu. Kenalan serta sanak-saudaranya sudah puas memujuk. Walau bagaimanapun, hati Syifa’ masih belum terbuka untuk menerima.

"Percayalah, Syifa’. Kau insan terpilih. Allah tahu kau mampu untuk hadapi semua ini. Allah takkan uji kau melebihi kemampuan kau. Bermakna musibah yang kau hadapi sekarang, kau mampu lalui. Kau mampu atasi. Kau perlu yakin pada diri kau. Kau perlu atasi kesedihan ini."

Qistina tidak ketinggalan beri nasihat berharga buat temannya. Dia menyayangi Syifa’ dengan sepenuh hati. Kerana itu, dia tidak sanggup lagi melihat sahabatnya terus bersedih. Terus bergelumang dalam kedukaan.

Pemergian Zaim sudah berlalu seminggu yang lalu. Namun, Syifa’ masih belum mampu bangkit dari kesedihan itu. Qistina bimbang. Bukan sahaja dia malah sahabat-sahabat yang lain dan ahli keluarga Syifa’ turut berkongsi kebimbangan yang sama.

Syifa’ seperti sengaja memerangkap diri dalam duka laranya. Kerana itu, hari ini sahabat-sahabatnya bersepakat untuk memujuk sekaligus menghilangkan kesedihan yang mengelubungi kehidupan Syifa’. Kali ini mereka perlu bertegas. Syifa’ mesti dikejutkan. Syifa’ perlu sedar dan terima realiti. Syifa’ perlu teruskan kehidupannya. Pemergian Zaim tidak seharusnya terus diratapi.

Syifa’ diam memandang lantai. Semua yang ada di bilik itu memandang satu sama lain. Diam Syifa’ menimbulkan tanda tanya. Adakah hati Syifa’ sudah terpujuk menerima hakikat pemergian Zaim?

“Kamu semua tak rasa apa yang aku rasa. Kamu semua hanya mampu cakap sabar dan sabar je. Tapi aku yang tanggung!” Suara Syifa’ sedikit membentak. Jelas hatinya masih belum terpujuk.

Sekali lagi, mereka yang ada di bilik itu saling berpandangan.

Ayuni yang sedang berdiri mengeluh perlahan.

Nuha diam. Termenung sejenak.

Qistina meraup wajah. Ya Allah, ke situ pula dia menyimpang. Bantu kami ya Allah.

Qistina merenung tajam Syifa’. Kepala ligat memikirkan kata-kata terbaik untuk dilontarkan. Dia menarik nafas dalam-dalam sebelum menghembus keluar. Setelah itu, dia bersuara.

"Ya, kami memang kami tak rasa apa yang kau rasa. Tapi, tu tak bermakna kau boleh sanggah pesan Rasulullah, kesabaran tu pada saat awal berlakunya musibah." Tegas Qistina. Kali ni, tiada lagi tolak ansur. Syifa’ perlu segera disedarkan. Andai hatinya perlu disentap. Qistina akan buat.

Syifa’ terdiam. Terpukul dengan kata-kata Qistina.

"Kehilangan ni pasti ada hikmahnya, Syifa’. Kau perlu usaha untuk bersabar. Usaha untuk terima takdir ni. Bila kau terus bersedih, aku yakin Zaim pun pasti bersedih tengok kau. Kau nak ke sebabkan kau, Zaim tak tenang kat sana?" Qistina kendurkan nada suara. Bertanya dengan tujuan menimbulkan rasa bersalah dalam diri Syifa’.

Syifa’ menggeleng laju. Air mata kembali mengalir. Kesal.

Qistina menarik nafas lega. Sedikit sebanyak hati Syifa’ berjaya diketuk.

Suasana jadi hening seketika. Yang kedengaran hanyalah suara tangis Syifa’. Dia tak lagi menangis sebab sedih atas kehilangan Zaim. Sebaliknya, dia menangis sebab menyesal atas kelanjuran diri. Dia telah meningkah takdir yang Allah tetapkan untuknya. Dia menyesal. Benar-benar menyesal.

"Syifa’, aku yakin kau pernah dengar ayat ni…” Nuha cuba tarik perhatian Syifa’.

Syifa’ menoleh Nuha di sebelah. Direnung Nuha dengan renungan penuh sayu.

“boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik untuk kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk untuk kamu. Dan (ingat), Allah mengetahui (semua itu), sedang kamu tidak mengetahuinya." Sepotong ayat dari surah al-Baqarah diperdengarkan pada Syifa’.

Syifa’ merenungi ayat yang dibaca Nuha.

"Kau masih ingat kata-kata Allah dalam surah Al-Imran ayat 139?" Nuha menyoal lembut. Pipi Syifa’ yang lembab basah dengan air mata disapu perlahan-lahan.

Syifa’ menangguk lemah. Dia diam seketika sebelum bersuara membaca terjemahan ayat 139 Surah Al-Imran yang dimaksudkan Nuha.

"Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah (pula) kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi (darjatnya), jika kamu orang-orang yan beriman."

"Alhamdulillah." Nuha memeluk erat Syifa’.

Tangisan Syifa’ makin kuat bila berada dalam dakapan Nuha.

"Terima kasih sebab tak jemu ada di samping aku. Tak jemu pujuk aku bangkit dari kesedihan ni." Ujar Syifa’ yang masih dalam pelukan Nuha.

"Itu gunanya sahabat, Syifa’. Bukan namanya sahabat kalau tinggalkan sahabat dia sorang-sorang bersedih. Biar suka duka bersama. Bila sorang sakit, yang lain akan terasa sama." Kata Ayuni bersemangat. Dia turut bergerak memeluk Syifa’.

"Ini juga tanda kami cintakan kau, Syifa’. Kami takkan biarkan kecintaan kami terus bersedih. Kami akan usaha sungguh-sungguh, buat kau kembali gembira." Qistina menambah. Dia juga turut memeluk Syifa’.

Kadang-kadang Allah sembunyikan matahari, Dia datangkan petir dan kilat. Kita menangis dan tertanya-tanya ke mana hilangnya matahari, rupa-rupanya Allah hendak memberi kita pelangi.

InshaAllah, apa yang berlaku pasti ada hikmahnya. Tenanglah duhai kekasih hati. Suatu ketika nanti bidadarimu akan menyusulmu nanti.

TEMANGAN, KEL
5 SEPT 2017
6.44 PM


Cerpen: Ya Amigo !

Nukilan: Hidayatun Nadhirah


Petang tu, lepas selesai joging satu pusingan mengelilingi kawasan universiti. Dia ajak aku lepak kat tasik yang terletak tidak jauh dari kolej kediaman kami. Aku setuju. Kebetulan aku pun memang teringin sangat nak ke tasik itu.

"Nak berubah tu bukan senang. Kau ingat aku tak nak ke berubah?" Keluhnya memecah lamunan aku.

Aku yang tengah syok lempar pandangan jauh ke tengah tasik menoleh pandang dia di sebelah. Wajahnya aku renung dalam-dalam.

Dia masih buang pandangan memerhatikan tasik yang terbentang luas di hadapan kami.

Aku memilih untuk berdiam dengan harapan dia akan meneruskan kata-katanya. Dalam benak aku dah muncul pelbagai macam soalan.

"Aku nak berubah tapi bila fikir tentang penerimaan orang terhadap perubahan aku. Tiba-tiba aku jadi takut. Aku jadi tak kuat."

Dia seakan memahami maksud diamku itu. Dia bantu aku rungkai persoalan yang bermain di fikiran.

Aku yang masih memandang dia, terus bersuara.

"Kenapa kau fikir macam tu sedangkan tu hanya sangkaan kau je. Kadang apa yang berlaku tak semestinya sama seperti apa yang kita fikirkan."

"Tapi aku bercakap ni berdasarkan apa yang aku lihat berlaku kat sekeliling aku. Berapa ramai kat luar sana yang nak berubah. Tapi berhenti sebab tak kuat nak hadapi semua ujian yang datang dalam proses mereka nak berubah." Katanya meningkah kata-kata aku.

Aku kemam bibir sambil memikirkan hujah terbaik bagi menyanggah kenyataannya. Bukannya aku nak menang berhujah tapi aku rasa persepsi dia terhadap perubahan perlu diubah. Kalau aku diam bermakna aku mengiyakannya. Walaupun aku tahu semua itu salah.

"Sebenarnya kan... Memang itu sifatnya. Bila kau pilih untuk berubah, bermakna kau pilih untuk diuji. Alah, konsep dia sama dengan konsep beriman. Kau tak boleh cakap kau ni beriman selagi mana kau tak diuji. Ujian itulah tanda aras tahap keimanan seseorang." Ujar aku sebelum diam seketika.

Dalam diam itu, aku tak putus-putus memohon agar Allah pandu kata-kata aku. Setakat ini aku berhujah guna ilmu yang aku belajar. Ilmu yang aku tahu. Namun, tetap dalam diri ada rasa bimbang dan takut andai aku tersalah beri hujah dan akhirnya bakal menimbulkan lebih banyak lagi kekeliruan.. Ya Allah, bantu aku...

Suasana kembali sepi. Aku diam dan dia pun turut sama membisu tanpa beri apa-apa respon. Tapi aku dapat lihat wajahnya. Wajah yang masih belum berpuas hati dengan kata-kata aku tadi.

"Mungkin kau kena renungkan kembali atas alasan apa kau nak berubah?" Aku bersuara kembali.

"Mestilah aku nak berubah kerana Allah. Siapa yang nak terus dalam kejahatan. Hati tak tenang. Jiwa rasa kacau." Dia melonjakkan sedikit suaranya. Dari nada suara, dengar sedikit tidak puas hati.

Aku tarik senyum panjang. Tangan terus bergerak memaut bahunya.

"Nah, bila kata kau berubah kerana Allah. Kau kenalah tahan sedikit bila diuji. Kau pun tahu kan ujian tu datang dari Allah. Ujian yang Allah beri tu tak lain tak bukan tujuannya untuk pastikan betul ke kau berubah kerana Dia. Kalau kau mampu bertahan, terbukti kau betul-betul berubah kerana Dia. Kau betul-betul nak jadi hamba yang taat dan turuti perintah Dia. Jalani hidup sebagai seorang muslim sejati.

Dia yang tadinya duduk sambil memeluk lutut menukarkan posisi. Duduk dalam keadaan bersila. Tangannya memetik-metik rumput kering seterusnya di campak ke hadapan. Telinga terus terpasang mendengar kata-kata aku.

"Tapi bila kau tak tahan. Bila diuji sikit je kau dah tak kuat dan pilih untuk padamkan saja hasrat untuk berubah... kau kena check balik niat sebenar kau berubah."

Aku berhenti seketika mengeimbangi peraliran keluar masuk oksigen dalam badan.

"Bila kau pilih nak berubah, soal dipinggirkan atau lebih teruk lagi dicaci, dikeji, dikutuk... memang kau tak mampu lari. Semua tu kau kena hadap. Aku cakap ni bukan nak takutkan kau sebaliknya aku nak kau tahu hakikatnya. Tapi kau kena percaya, bila kau pilih untuk berubah, kau takkan rugi."

Aku meneruskan kembali penghujahan. Syukur, dia dah berubah sedikit dari sebelum ini. Kali ini, dia lebih memilih untuk diam mendengar berbanding meningkah dan menepis hujah aku.

"Bila orang pinggir, caci, kutuk atau hina kau, apa yang perlu kau buat, kau perlu banyak bersabar. Kau tak dapat lari dari rasa sakit hati dan sedih."

Aku leraikan pautan tangan di bahunya. Memberi ruang untuk badannya bergerak bebas.

"Untuk bersabar pun satu hal... Aku tak rasa aku mampu." Ujarnya sambil tundukkan wajah.

Aku menghela nafas sebelum menghembus keluar.

"Itu masalah kau sebenarnya. Kau terlalu banyak fikir dan bayangkan sesuatu dari sudut negatif. Sebab tu kau takut mencuba. Kau pun tak yakin pada diri kau. Kau mudah hukum diri sendiri. Kau mudah cakap kau tak mampu sedangkan kau tak cuba lagi buat benda tu." Aku cuba kawal emosi. Lontarkan kata-kata dengan nada memujuk namun penuh ketegasan.

"Sifat sabar tu bukannya wujud dengan sendiri. Kau perlu pupuk. Lebih tepat lagi, kau perlu paksa diri kau bersabar. Bila kau rasa nak marah bila diperlakukan begitu, kau kena tahan kemarahan tu. Ya aku tak nafi semua tu bukan mudah. Tapi ia tak mustahil berlaku bila kau cuba dan terus cuba. InshaAllah, Allah ada untuk bantu kau." Aku cuba bangkitkan semangatnya.

"Lagi satu, kenapa kau perlu takut kehilangan kawan-kawan kau bila kau pilih berubah kerana Allah? Bila kau berubah kerana Dia, inshaAllah, Dia akan gantikan kau dengan kawan-kawan yang lebih baik dari sebelum ni. Mereka pun sama seperti kau. Sama-sama nak berubah. Sama-sama nak cari Allah."

Dia terus membatu diri. Bimbang pula aku dibuatnya. Bimbang takut dia terasa dengan kata-kata aku. Dan bimbang juga nasihatku dipandang sepi. Tapi bila fikir balik, terpulanglah pada dia. Sekarang tugas sebagai sahabat, aku dah laksana. Aku dah nasihat. Terpulang pada dia untuk menilai sendiri.

"Em, nantilah aku fikirkan kembali tentang ni."

Aku mengeluh rendah. Akur pada keputusannya. Aku tak mahu lagi memaksa. Tapi aku puas sebab aku dah berjaya luah segalanya yang terbuku di hati.

"Hmm. Okay. Tapi kau kena ingat. Sekali Allah beri kesedaran pada hati untuk berubah, teruslah berubah. Tak usah tangguh-tangguh lagi. Peluang hanya datang sekali."

"Bila kita tangguh atau kita abaikan untuk terus berubah, kemungkinan Allah akan tarik balik rasa untuk berubah tu. Dan yang rugi adalah diri kita sendiri. Bila Allah pilih kita, kita pula dengan sombong tolak nikmat Dia. Bukan ke kita sengaja jadi hamba yang rugi?"

Nasihat terakhir aku untuk dia sebelum dia bangkit sesudah memcuit hidung aku sambil berkata ‘jom balik’.  Dia terus berlalu meninggalkan aku yang terkocoh-kocoh mengejarnya dari belakang.


‘Ya Allah, bantu dia untuk berubah. Pandu dia untuk kembali pada-Mu.’


MACHANG, KEL
3 SEPT 2017
3.38 AM



Knowledgeable Women

Let Me Argue #1
By: Hidayatun Nadhirah


Pada seorang perempuan selalu sangat diperdengarkan kata-kata ni.


"Untuk apa belajar tinggi-tinggi. Nanti, bila dah kahwin di rumah juga tempat korang. Tak macam lelaki. Mereka takpe kalau belajar tinggi mana pun sebab suatu hari nanti mereka yang akan tanggung korang."


Tak tahu nak cakap macam mana dengan statement tu. Tapi aku akui kebenarannya. Memang semua sedia maklum tentang hakikat tu. Seorang perempuan bila tamat je zaman bujangnya, dirikan rumahtangga, dapat pula gelaran isteri, memang tempatnya di rumah.

Dialah yang akan jadi penjaga rumahtangga even tak ada lantikan secara rasmi. Tapi title tu automatik akan jadi tanggungjawabnya. Tiada istilah, “bang beri masa pada saya untuk beri kata setuju. Nak atau Tak Nak.”

Bagi aku, tak salah bila seorang perempuan tu nak sambung belajar tinggi sampai mana pun. Dia ada impian. Selagi semua tu tak membebankan atau mengganggu siapa-siapa, biarkan dia terus dengan impiannya.

Tapi kalaulah masalah kekangan kewangan menjadi punca pada halangan tu. Jelaskan dengan sebaik mungkin pada mereka. Bukannya membentak atau menengking. Bila ditanya kenapa, jawab dengan jujur tak perlu berselindung atau dibiarkan pertanyaan tu tergantung tanpa jawapan. Percayalah, bila jujur pada mereka. InshaAllah... mereka akan memahami.


“Jadi kenapa perempuan perlu belajar tinggi?”


Actually, tak perlu pun belajar tinggi. Yang penting di sini, perempuan tu perlu berilmu. Itu sebenarnya point aku. Sebelum memasuki alam rumah tangga, seorang perempuan tu sepatutnya persiapkan diri mereka dengan sebanyak mungkin ilmu yang ada especially berkaitan ilmu pengurusan rumahtangga dan anak-anak.

Sekarang ni, korang dah tak perlu pergi kelas untuk belajar semua tu. Cukup dengan pembacaan pun dah boleh buat korang expert benda tu. Kat kedai buku sekarang ni, berlambak buku-buku berkaitan rumahtangga macam membina keluarga sakinah, mawardah and so on. Pilih saja yang berkenan di hati. Kalau malas nak pergi, search je kat google. InshaAllah, korang akan jumpa.

Bila masuk part timbang cahaya mata pula, di atas bahu seorang perempuan atau lebih tepat seorang ibu, letaknya tanggungjawab mendidik anak-anak. Sebab ibulah insan paling dekat dan banyak masanya dihabiskan bersama anak-anak berbanding bapa.

Even ibu tu berkerja sekalipun, anak-anak pada usia kecilnya lebih memilih berada dalam dakapan ibu berbanding bapa. Bila mereka merengek sikit, pelukan ibulah yang banyak menenangkan mereka. Mereka akan pilih bapa bila mereka nak seronok je. Yelah, sebab hanya bapa mereka saja yang berani lambung mereka tinggi-tinggi sampai mampu cetuskan gelak-riang mereka. Kalau ibu, emm… jangan harap nak rasa semua tu. Haha. Apa punya kejam situasi. Kesian molep kat kaum bapa.

Nak didik anak-anak ni, ibu perlu terlebih dahulu ada ilmu. Macam mana seorang ibu tu nak didik anak-anak kalau pada diri mereka langsung tak ada ilmu asasnya?

Sebagai perempuan, kita kena ingat, baik atau buruk anak-anak nanti semuanya bergantung kita. Bergantung pada bagaimana kita membentuk mereka, ilmu apa yang diserapkan dalam diri mereka. So, nak tak nak, kamu sebagai ibu/bakal ibu perlu rajin-rajinkan diri pelajari apa sekalipun ilmu yang kamu rasa boleh memberi kesan yang baik bukan saja pada kamu malah juga pada anak kamu nanti. Nasihat ini untuk semua termasuk diri aku sendiri. 😀


“So, apa beza perempuan yang belajar tinggi dengan perempuan yang tak sambung belajar ni?”


Actually, tak beza sangat pun. Dua-dua hampir sama je. Kalau beza pun, sikit je.

Bagi perempuan yang ada peluang untuk sambung belajar ke peringkat yang lebih tinggi. Itu kira bonus pada korang. Bukan sahaja ilmu tentang rumahtangga dan anak-anak yang korang boleh pelajari malah ilmu lain pun korang boleh belajar sebagai pemantap diri dan peluang untuk korang menjadi seorang yang berkerjaya.

Hidup ni kadang tak seperti yang kita duga. Kita tak dapat expect apa yang berlaku pada masa akan datang. Bila korang berkerjaya, incase ada sesuatu yang tak terduga berlaku menyebabkan korang kehilangan tempat pergantungan, korang mungkin takkan pusing kepala seteruk yang lain. Pergantungan korang bukan lumpuh sepenuhnya.

Bagi yang tak ada peluang untuk sambung belajar tinggi, bukan bermakna korang tak boleh berjaya. Korang pun boleh. Dengan cara macam mana? Dengan cara jangan pernah berhenti tuntut ilmu. Pembelajaran sentiasa berlaku dalam kehidupan kita. Yang bezanya hanyalah secara formal atau tidak formal. Itu je.

Ok. Aku rasa dah panjang sangat aku membebel ni. Berhenti sini dulu laa deh. Ok. Done.

Assalamualaikum.


MACHANG, KEL
27 JULAI 2017
5.49 AM

Bila Aku Kau Lupa

Nukilan: Hidayatun Nadhirah



Setelah berminggu lamanya dia tak jejak kaki ke surau, malam tu Allah detikkan hatinya untuk melangkah ke sana. Namun sebenarnya, masih ada rasa malas untuk turun dalam dirinya pada waktu tu atas beberapa alasan yang tidak kukuh.

‘Satgi kalau turun, nanti ada apa-apa program kat surau… tak boleh nak lari. Maybe pukul 10 malam aku boleh balik ke bilik. Kerja banyak. Assignment banyak tak siap lagi. Due date dah nak dekat. Tak sempat nak siapkan nanti…’ – bisik hatinya.

‘So tak payah pergi laa…’ – satu bisikan lain pula menyapa hati.

‘Mana boleh. Kau dah lama tak turun solat berjemaah.’ – sisa iman dalam hati menegah.

Dia buntu seketika. Betullah apa yang selalu diperkatakan, nak buat benda baik ni macam-macam halangan dan alasan yang akan muncul menghalang seseorang melakukannya. Tapi bila nak buat benda yang tak berapa baik, uish laju je pergerakkan. Seakan smooth gitu.

‘Pergi saja. Kerja tu nanti boleh buat juga. Mana tahu bila kau turun solat berjemaah, balik nanti kerja kau jadi mudah sebabnya Allah tolong dengan mempermudahkan segalanya.’

Dia mengangguk kecil. Pujukan itu berkesan melenturkan hatinya dan dia memilih untuk turun ke surau malam itu.

Di surau, dia solat berjemaah dengan beberapa penghuni kolej kediaman yang lain. Di kolej kediaman 1 USIM, kesemua penghuninya terdiri daripada mahasiswi-mahasiswi tahun 1. Ada saja pelajar tahun lain namun jumlahnya tidak terlalu ramai. Hanya minoriti sahaja. Secara umumnya, kolej kediaman ini dikhususkan untuk pelajar perempuan.

Malam tu, tak sampai sepuluh orang pun yang ada waktu solat maghrib. Kebanyakkan penghuni kolej kediaman yang lain lebih suka solat di bilik berjemaah dengan roommate masing-masing. Perhaps... Fikirnya.

Usai solat dan berdoa, dia menjarakkan diri dari jemaah yang lain. Duduk di satu sudut yang sedikit terpencil sambil menyandarkan badan pada dinding konkrik bangunan. Sedap senggoti. Nyaman pula tu. Aircond yang terpasang pada suhu yang entah mencecah ke berapa dapat dirasai menyentuh lembut jasadnya yang ditutupi kain sembahyang.

Sedang asyik dia mengitari pandangan melihat suasana surau itu, tiba-tiba pintu di sebelah tangga muslimin dibuka perlahan.

Dua orang muslimin muncul di balik daun pintu itu. Salah seorang seorang dari mereka terlihat seperti berusia lingkungan 30-an manakala seorang lagi dalam lingkungan 20-an. Seorang ustaz dan pelajar kot. Dia mengagak.

Terlihat sahaja 2 muslimin itu, terus kaki yang tadinya terlunjur ke depan ditarik pantas. Serentak dengan itu, badan bertukar posisi. Kini dia duduk dalam keadaan bersila.

Nak dijadikan cerita, apa yang difikirkannya benar-benar berlaku. Malam tu memang ada program di surau tu. Program ceramah mengupas tentang sebuah kitab iaitu kitab Rasail Nur karya Badi’uzzaman Syeikh Said Nursi.

Sama ada nak atau tidak, dia terpaksa kekal berada di situ juga. Dah alang-alang duduk, baik terus duduk je. Nak bangun, seganlah pula.

“Takpelah. Dengar jelah. Mana tahu dari ceramah ni, ada sesuatu yang kau dapat. Mungkin ada sesuatu yang Allah nak tegur. Lagipun, kau dah lama tak join program-program macam ni. Mungkin dari ceramah ni juga, masalah yang kau hadapi sekarang boleh settle?” – sisa iman dalam hati memainkan peranan ketika hatinya sedang terumbang-ambing.

Dia terpujuk.

----

“Saya nak betulkan sikit tentang tajuk talk kita malam ni. Sebenarnya bukan hikayat sebaliknya hakikat iman melalui jalan tafakur.”  Penceramah itu membetulkan tajuk ceramah malam itu.

Ketika ini, ceramah sudah berlangsung sekitar 30 minit. Ruangan surau KK1 sudah mula dipenuhi jemaah yang terdiri dari pelajar lelaki dan pelajar perempuan.

“Dalam kitab ni, penulis mengupas tentang beberapa soalan penting yang sering dikemukakan oleh setiap manusia. Semua ini disebabkan manusia mempunyai akal. Mempunyai akal fikiran merupakan fitrah manusia.”

“Manusia sering kali mempersoalkan, dari mana mereka datang? Untuk apa mereka dihantar ke dunia? dan ke mana mereka akan pergi selepas kehidupan di bumi?”

Dia mencatat satu persatu-satu point penting yang disampaikan oleh penceramah tersebut di dalam buku notanya.

Macam tahu-tahu je malam ni ada ceramah. Siap bawa buku nota sekali.

Bukanlah !

Buku nota itu memang akan selalu dibawanya ke mana-mana. Baginya, menulis merupakan salah satu terapi untuk menghilangkan tekanan yang dihadapi. Tulis apa sahaja yang sedang bermain di fikiran, yang terlintas di hati, yang terlihat di mata dan yang terdengar menerusi telinga. Lepas je tulis, semangat yang awalnya jatuh seakan terbangun kembali. Dia jadi lebih bersemangat untuk teruskan hidupnya.

Tambahan pula, dia punya angan-angan untuk menjadi penulis dan dia rasa cara yang dia buat sekarang merupakan salah satu langkah untuk persiapkan diri untuk jadi penulis suatu masa akan datang. Cewah.  Hah! begitu kisah dibalik buku nota tu. 😁

“Uslub yang ditulis oleh Syeikh Said Nursi sangat berbeza. Namun, ia sesuai dengan keadaan semasa. Karyanya sebuah karya kontemperari.”

Ceramah diteruskan dan berhenti tepat pada pukul 10 malam.

Benar, dari ceramah itu dia dapat sesuatu yang berharga. Persoalan tentang masalah yang dihadapi sejak kebelakangan ini terjawab dengan jelas.

“… tujuan kita diutuskan ke dunia ini adalah untuk beribadah kepada-Nya. Bila kita fahami betul-betul konsep ni, InshaAllah hidup kita akan terarah. Perjalanan kita merentasi kehidupan ini akan terpandu. Bertemu dengan Allah menjadi matlamat pada mereka yang betul-betul memahami konsep ini. Sebuah matlamat yang ingin dikecapi pada pengakhiran hidup di dunia ini.”

Dia sedar akan satu perkara. Masalah yang dihadapinya sejak kebelakangan ini sebenarnya berpunca dari dirinya sendiri. Ketika mana dia mula menjarakkan diri dari pencipta, masalah itu seakan datang dan terus datang. Masalah itu jadi lebih parah bilamana ia tidak berjaya diselesai. Masalah apa yang dia hadapi? Biarlah ia menjadi rahsia dia dengan penciptanya.

Ok, End. 😄

KK1, USIM
29 Mei 2017
7.56 AM

Tak Perlu Baca Pun



Satu perkara yang kau perlu ingat... jangan terlalu negatif. Jangan jadikan minda kau negatif sangat. Bila pemikiran kita negatif, kita akan takut bertindak. Belum lagi buat sesuatu, kita dah fikir...

"Benda ni boleh jadi ke?"
"Apa pula kata orang?"
"Kalau aku buat macam ni, mesti aku akan dibenci."


Buat dulu. Kau perlu berani mencuba. Ketepikan segala persoalan dan alasan yang muncul di kepala kau. Selagi kau belum bertindak, selagi itu kau tak tahu apa sebenarnya akan terjadi. So, buat dulu.

Lagi satu, jangan takut pada istilah 'orang kata'. Biarlah orang nak kata apa dan nak fikir apa pun tentang kau. Biarlah orang nak kutuk segala apa yang kau buat pun. Yang penting kau tahu apa yang kau buat. People can't understand. Ignore them.

Bila orang tak suka kau, biarkan mereka. Tak perlu susah-susah buat sesuatu dengan harapan mereka akan menyukai kau. Semua itu akan merugikan kau. Last-last, kau juga yang kecewa. Kau juga yang akan sakit sendiri.

Apa yang perlu kau buat, buat seperti biasa. Kalau mereka tak nak layan kau or abaikan kau, cari orang lain yang nak layan kau. Haha.

Tak perlu terhegeh-hegeh tunjuk pada mereka yang kau ni nak dekati mereka. Tapi bila mereka dekati kau, layan mereka seperti sedia-kala. Tunjukkan yang kau ni berbeza dari mereka. Friendly gitu.

Jangan pula bila kau tahu mereka tak suka kau, kau layan mereka... nak tak nak je. No! jangan begitu sahabat.

Tak kisahlah apa pun mereka buat pada kau, maafkan mereka. Memaafkan bukan bermaksud kau kalah sebaliknya kau menang dalam kalah. Malah, ia menunjukkan kau ni seorang yang matang dan seorang yang positif. 😄. Kalau ada rasa awkward tu, cuba bendung agar ia tak rosakkan keadaan. 

Pentingnya di sini, layan mereka seperti biasa. Anggap saja seolah-olah tidak ada apa-apa yang berlaku antara kau dengan mereka.

"Aku tak mampulah!"

Tak! kau salah. Kau sebenarnya mampu. Yang jadi masalah sekarang, bukannya kau tak mampu sebaliknya hati kau tak mahu. Atau dalam erti kata lain, ego kau menegah kau buat macam tu. Itu jawapan yang kau sendiri perlu rungkai dan perlu kau atasi.

Sekian. Assalamualaikum.


7 MEI 2017
9.42 PM

Susah-Susah Dulu, Senang-Senang Nanti



"Never give up. Today is hard, tomorrow will be worse, but the day after tomorrow will be sunshine."- Jack Ma.
-------------------------------

Ketika sesi kuliah pertama Usul Fiqh berlangsung.

"When I give tutorial questions, I want you translate it. I'll give you leniency to translate it whether in english or in malay. It's up to you.

In next lecture, I'll randomly pick up any name in this name list. They must answer that question with translation for those questions and their answer. Tutorial and Q&A with me, I'll consider as your presentation & assignment."

Semua mengeluh bila ustaz dah mula bentangkan tentang 'rules' yang perlu kami patuh sepanjang mengikuti pengajian 'Usul Fiqh' dengannya. Kami dah mula rasa 4 bulan mendatang adalah tempoh yang sangat memerihkan yang terpaksa kami lalui.

"Awak patut bersyukur saya buat macam tu. Senang & simple."

Bila ustaz cakap je macam tu, mulalah kedengaran rungutan dan rengetan dari sekalian pelajar. Dah mula kedengaran bisikan-bisikan dari mereka. Mereka tak berani nak bersuara bimbang lagi teruk kena bash dengan ustaz,

"Tapi ustaz, tak kena tempatnya. Kami bukan belajar subjek ni sebagai subjek core pun. Kami ambik kos akaun, subjek ni takde kena mengena pun dengan kos kami. Belajar pun sebab subjek ni subjek wajib universiti." - antara keluhan yang telinga aku sempat tangkap.

Mereka tak setuju dengan apa yang ustaz katakan. Kalau jujur, aku sendiri pun sedikit tak setuju dengan kata-kata ustaz. Buat apa kita belajar sebegitu subjek yang tak ada kena mengena pun dengan subjek yang kami ambik.

Bukan ke tu membazir masa namanya. Kami boleh gunakan lebih banyak masa untuk subjek-subjek yang ada kena mengena dengan kos yang diambil. Tak perlu habiskan berjam-jam lamanya masa hanya untuk translate soalan dan jawapan seperti apa yang ustaz nak kami buat.

Tapi, bila ingatkan balik. Rasa macam nak kutuk je diri sendiri. Sempit betul fikiran aku waktu tu sampai boleh terlintas fikir macam tu. Aduhai.. Kena lekuk-lekuk kepala sikit ni.

Memanglah subjek tu tak ada kena mengena dengan kos yang aku ambik sekarang ni tapi aku ni seorang muslim. Sebagai muslim aku perlu tahu benda ni. Nak tahu benda ni aku kena belajar. Nak belajar pula aku perlu rujukan bukannya sekadar dengar je apa yang orang cakap.

Tak salah dengar tapi lagi bagus aku sendiri buat pembacaan melalui rujukan yang ada. Rujukan tentangnya banyak. Tinggal tunggu aku ambik, baca dan fahami apa yang nak disampaikan. Biasanya rujukan yang paling bagus adalah rujukan asli, yakni yang ditulis dalam bahasa Arab.

"Saya buat macam ni sebab saya nak bantu awak. Nak bantu awak improvekan bahasa arab awak. Saya nak awak berbeza dengan orang lain kat luar sana..."

"Awak tahu, sekarang ni... company yang terlibat dengan muamalat memerlukan orang yang mampu baca dengan betul & memahami sources yang ditulis dalam bahasa Arab. Kebanyakkan pekerja yang mereka ada tak mampu buat macam tu even background pendidikan mereka adalah ekonomi & muamalat."

"Sepatutnya awak patut arif terlebih dahulu bahasa Arab, baru awak boleh ambik subjek Usul Fiqh..."

"Sedangkan Imam Syafie habiskan masa 10 tahun untuk arif berbahasa Arab sebelum belajar ilmu Usul Fiqh inikan pula kita..."

"Bila arif bahasa Arab semua benda akan jadi senang."

Jatuh rahang semua bila ustaz cakap macam tu. Ya Allah, bahasa Arab aku pun tunggang-langgang lagi sekarang ni, 2 tahun aku tinggalkan bahasa Arab, rasa macam kosong balik. Mampu ke aku bawak subjek ni? Aduh. (Argh! InshaAllah, aku mampu!)

"Tapi takpelah. Nak buat macam nak tak nak kita perlu ambik juga. Universiti dah tetapkan macam tu jadi nak tak nak kita perlu ikut. Kita teruskan semampu yang kita mampu." 

Mungkin bila nampak kami dah mula layu dan seakan putus harapan, ustaz betulkan mood kami dengan beri kami kata-kata semangat. Kasi up balik semangat yang dah jatuh menjunam-junam.

"Saya dulu waktu belajar tak sesenang awak belajar sekarang."

Ustaz sambung balik perkongsiannya. Kali ni bersangkut dengan pengalaman & kenangan waktu dia belajar di Madinah dulu.

Bermula detik itu, lebaran sejarah diselak kembali. Dengan rasa antara terpaksa & rela, kami tadah laa juga telinga mendengar luahan seorang pendidik.

Ustaz mula cerita pada kami sekelas, bagaimana susahnya dia belajar dulu. Bagaimana peritnya dia kena terima hakikat waktu dia study dulu dia pernah dapat markah 0.5/100. Markah yang tak sampai angka 1 pun.

"Kamu bayangkan... Kamu dah hafal satu hadis. Dah betul-betul ingat tapi waktu kamu jawab exam kamu tersalah letak 'و'... satu je. Maka seluruh jawapan kamu dianggap salah. Macam tu jugalah berlaku pada exam yang berkait dengan al-quran. Salah sikit je contoh salah letak baris ke... automatik jawapan kamu akan salah. Waktu tu tak ada belas kasihan. Kamu perlu terima hakikat yang kamu harus repeat paper..."

"Tak pelik kat sana (Madinah) bila time exam je... banyak ambulan dah sedia menunggu kat luar dewan exam. Orang yang tengah exam tiba-tiba pengsan, tersungkur kat lantai semua tu perkara biasa. Satu situasi yang tak pelik pun kat sana." 

"Yang jadi gila pun ada..."

Semua tergelak bila ustaz kata begitu.

"Eh, saya tak tipu ni. Ini realiti. Betul-betul berlaku. Orang yang tak lulus exam mereka kena stay kat sana waktu orang lain tengah bercuti. Yang kebanyakkan jadi gila biasanya orang yang dah berkeluarga. Mana tidaknya, bertahun lamanya tak jumpa anak isteri, dah set waktu cuti nak balik jenguk mereka tiba-tiba terpaksa lupakan hasrat tu di sebabkan mereka kena repeat paper waktu musim cuti kuliah."

Semua terkedu. tercengang. Ter- segalanya. Begitulah cerita yang diceritakan ustaz pada kami. Seram sejuk kami dibuatnya.

Dengar je cerita ustaz. Rasa insaf seketika. Waktu tu aku sedar satu perkara. Untuk jadi seseorang yang pakar dalam sesuatu bidang ilmu tu, bukan semudah yang disangka.

Hakikat, banyak cabaran yang perlu kita tempuh.

Makin banyak cabaran yang hadapi, makin banyak yang kita belajar.

Sebenarnya, kalau ikutkan, makin banyak cabaran, makin bagus untuk kita. Tapi tak semua orang sedar tapi tak semua orang sedar tentang tu termasuklah aku. 😂.

Apa yang selalu kita buat, makin banyak cabaran, makin tinggi keinginan untuk kita mengundur diri.

"Argh! Aku tak boleh. Sekarang ni, belajar makin susah. Aku dah tak mampu nak follow. Aku give up!"

Itulah yang selalu kita ucapkan.

Jalan menuntut ilmu bukan satu jalan yang mudah. Once kita pilih berada di jalan ni, kita perlu sedia menerima segalanya.

Rintangannya.
Cabarannya.
Kesusahannya.
Segalanya tentangnya.

Kita perlu terima. Tak rugi bila kita paksa diri kita untuk tempuh semua tu. Sebab diakhirnya nanti ada reward yang akan kita capai.

Percayalah.

"Bila kamu tak tahan lelahnya belajar, maka kamu akan menanggung peritnya kebodohan.” - Imam Syafie.


22 FEBRUARI 2017
9.16  AM