pages

Cerpena : Bukan Niatku Melukai Hatimu.

Nukilan : Hidayatun Nadhirah
Cerpen Bersiri





Ketika ini, Nurul Qaireen berdiri di tangga. Di tangannya, terdapat satu sampul surat. Di dalamnya terkandung surat tawaran bagi menyambung pelajaran ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

                Enam bulan dia menanti. Penantian yang penuh dengan debaran dan teka-teki. Dia begitu mengharap, rezeki Allah masih ada buatnya. Dalam ribuan pemohon, dia mahu dirinya berada dalam kalangan yang terpilih. Itu yang selalu dipinta dalam setiap doa munajat yang dia panjatkan tanpa putus-putus kepada Yang Esa.

                Memilih untuk tidak terus berada di bangku sekolah, menduduki apa-apa lagi peperiksaan besar, sama ada Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) mahupun Sijil Pelajaran Tinggi Malaysia (STPM), itu pilihan nekad daripadanya.

                Biarpun pada mulanya, ada saranan daripada ibu agar dia memikirkan kembali keputusan itu, menimbang balik baik buruk tindakan yang bakal diambil. Alhamdulillah… dia yakin dengan keputusan yang telah dibuat.

                Sejak dari itu, ibu tidak lagi bersuara mengenai perkara itu. Berkaitan hal itu, ibu sama sekali tidak akan memaksa malah tidak juga akan menghalang sekiranya tiba-tiba dia berubah fikiran untuk mengambil antara salah satu daripadanya. STAM ataupun STPM.

                Kata ibu, “Kalau ambil, bagus… kalau tidak ambil, bukan bermakna tidak bagus. Sambunglah belajar di mana-mana sahaja sekalipun. Dua-duanya ada kelebihan masing-masing. Sekarang, apa yang perlu kamu buat, pilihlah apa yang terbaik bagi kamu.”

                “Ikut gerak hati kamu kata apa. Tapi... dalam kamu ikut kata hati, perlu juga kamu berhati-hati, ada kalanya suara hati, sifatnya mampu menipu. Maka... tindakan terbaik, pohon petunjuk dari Allah.”

                Bicara ibu suatu ketika dahulu, yang berbaur nasihat itu, masih lagi segar dalam kotak mindanya. Tertanam kukuh dalam hati. Masakkan dia akan lupa akan kata-kata itu. Sudah tentu tidak. Kerana kata-kata itu juga, dia memberanikan diri untuk berhadapan dengan ibu pada hari ini.

                Waktu yang dilalui terasa cukup lama dan menyeksakan. Namun, itu bukanlah pematah semangat untuk dia terus bertahan. Dia akan terus menanti. Menanti dengan penuh kesabaran. Bukakah itu yang Islam sarankan? Sabar dan terus bersabar.

                Mungkin sabar itu sesuatu yang mudah untuk diungkat, namun sukar untuk dilakukan. Tetapi percayalah, apabila ia terus dilatih, Insha-Allah... kesabaran itu akan jua diperoleh.

                Sebagaimana sabda Rasullah SAW tatkala menggambarkan hikmah apabila seseorang itu mendidik dirinya agar sabar, maka di atas usahanya itu, Allah akan menjadikannya seorang yang sabar.

                Detik masa itu terus berputar. Kini, jawapan kepada penantian itu, akhirnya terjawab. Penantiannya tidak sia-sia. Benar, dari sabar itu pasti ada hikmahnya. Syukur, pemohonannya diterima. Lebih mengembirakan lagi apabila dia ditawarkan, dalam bidang yang sangat diimpikannya. Asasi Perakaunan. Itu yang menjadi pilihan utamanya ketika mana permohonan UPU diisinya suatu masa dahulu.

                Namun, ada sesuatu yang menganggu ruang fikirannya kini. Yang mungkin bakal menjadi masalah dan juga penghalang buatnya nanti. Ianya adalah…ibu.

                Nurul Qaireen menarik nafas dalam-dalam. Lalu, setapak demi setapak dia melangkah. Sampul surat di tangan dipegang erat. Dia perlu kuat. Apa sahaja yang bakal berlaku nanti, dia akan tetap pertahankan pendiriannya.

                Dari jauh, Nurul Qaireen dapat melihat ibunya sedang menilik-nilik Ipad Samsung galaxy kepunyaannya. Ketika ini, ibu sedang duduk di sebuah meja yang terdapat di suatu ruang antara ruang makan dengan ruang tamu.

                Biasanya, di situlah tempat untuk ibu melakukan kerja-kerjanya. Tidak cukup di pejabat, di rumah juga ibu akan cuba cari masa untuk berkerja.

                Tugas sebagai seorang arkitek senior, nampak cukup memenatkan. Itu yang Nurul Qaireen lihat pada ibunya. Terbang sana sini, sudah menjadi perkara biasa bagi ibu. Berpuluh-puluh tender telah berjaya diuruskan dengan baik oleh ibu. Banyak bangunan yang tersergam megah di kota-kota bandaran utama di dalam negara dibina menggunakan lakaran kombinasi idea ibu. Jadi, tidak mustahillah jika ibu tergolong dalam kalangan arkitek terhebat negara.

                Biarpun kehidupan ibu banyak dihabiskan dengan kerja, tugas seorang ibu kepada tiga cahaya mata tercinta tetap masih dijaga sebaik mungkin. Makan minum dan pakai anak-anak masih terurus dengan baik. Itu yang hebatnya ibu di mata Nurul Qaireen. Sesibuk mana pun dia dalam dunia kerjayanya, kewajipan seorang ibu tidak pernah dia abaikan.

                Bagi Nurul Qaireen, dia bangga punya ibu seperti ibunya. Tetapi, adakah ibu juga akan turut berbangga mempunyai anak sepertinya?

                Nurul Qaireen terus menghampiri ibunya. Sebaik sahaja tiba, matanya terpandang pada beberapa gulung kertas pelan yang terletak rapi di sebelah sebuah komputer riba.

                   Mungkin kerja ibu sudah selesai. Duga Nurul Qaireen. Sampul surat yang dipegang tadi disembunyikan buat seketika di belakang badan.

                “Mummy…” Nurul Qaireen menguntumkan senyuman manis. Perlahan-lahan tangan kanannya menarik kerusi. Setelah itu, tubuh dilabuhkan di atas kerusi yang diperbuat dari kayu jati itu.

                Puan Auliya mengangkat wajah. Lantas, bibirnya turut menggariskan satu senyuman ikhlas buat puteri tersayang.

        “Mummy sibuk?” Berhati-hati Nurul Qaireen bertanya.

                 “Tak. Kenapa? Adik ada nak beritahu sesuatu?” Jawab Puan Auliya berserta dengan pertanyaan. Ipad di tangan diletakkan seketika. Kedua belah tangan diangkat ke meja. Jari-jemari disatukan. Dagu diletakkan di atas susunan jari-jemari itu.

                Nurul Qaireen diam buat seketika waktu. Bibir bawah digigit lembut. Minda masih lagi berkira-kira sama ada mahu memberitahu ataupun tidak.

        “Beritahu saja. Mummy tak akan marah.” Ujar Puan Auliya seakan mampu membaca fikiran anaknya ketika ini. Seorang ibu sudah tentu mampu untuk melakukan semua itu. Kekuatan naluri seorang ibu memang tidak boleh dinafikan lagi.

        Nurul Qaireen membawa sampul surat yang disorok di belakangnya tadi ke atas meja. Sejurus itu, Puan Auliya mengerut dahi sambil tangan mencapai sampul surat itu. Wajahnya penuh dengan tanda tanya.

                “Surat apa ini?” Soal Puan Auliya. Tangannya teraba-raba untuk mengeluarkan isi sampul surat tersebut.

                “Surat tawaran sambung belajar.” Jawab Nurul Qaireen lalu menundukkan kepala memandang lantai. Mata dipejam. Hujung bibir digigitnya lagi. ‘Ya Allah, tolonglah…” Hatinya berbisik.

        Nurul Qaireen mengerling ke arah Puan Auliya yang ketika ini sedang membaca isi kandungan surat tersebut. Dia tidak mahu mengangkat wajah memandang terus ke arah ibunya. Dia seakan dapat mengagak apa respons yang bakal diterima daripada ibu.

        Debaran hati terasa sungguh mencengkam jiwa. Jantungnya pula mula bertukar rentak. Berdegup kencang. Lantas, dia meramas-ramas pergelangan tangan. Dalam usaha memujuk diri agar bertenang.

        Puan Auliya membelek helaian surat di tangan sepintas lalu. Sejurus itu, kedengaran bunyi keluhan terluah. Serentak itu juga kepalanya tergeleng-geleng.

                “Maaf, Mummy tidak izinkan.” Putus Puan Auliya dengan nada suara yang lembut namun tetap ada tegasnya. Surat yang dipegangnya sebentar tadi dimasukkan kembali ke dalam sampul. Lalu diletakkannya di atas meja. Ipad kembali dicapai.

        Nurul Qaireen pantas mengangkat wajah. Seperti yang dijangkakan. Itu yang bakal dia dengari dari mulut Puan Auliya. Namun dia tidak mahu terus mengalah. Dia akan berusaha untuk cuba memujuk Puan Auliya.

                “Tapi adik minat bidang itu. Adik…” Nurul Qaireen cuba memujuk. Namun ayatnya tersangkut apabila Puan Auliya cepat-cepat memotong.

                “Bila Mummy cakap tidak, selamanya tidak. Faham!” Tegas Puan Auliya. Kali ini suaranya sedikit meninggi. Ipad diletakkan kembali di tempatnya dengan kasar. Rona mukanya telah bertukar merah. Amarahnya terbangkit. Matanya merenung tajam ke arah Nurul Qaireen. Renungan mata itu ditentang berani oleh Nurul Qaireen.

                “Adik tetap mahu teruskan juga.” Kali ini Nurul Qaireen juga akan tetap dengan pendiriannya. Dia sudah bertekad, walau apa pun yang terjadi dia tetap akan terus berjuang bagi memastikan impiannya tercapai.

        “Nurul Qaireen! Mummy tidak pernah ajar anak Mummy lawan cakap Mummy.” Puan Auliya bangkit dengan kasar. Kesan daripada tindakannya itu, terhasilnya bunyi geseran kerusi tatkala ia terseret pada lantai.

                “Dulu… bila Mummy suruh adik ambil aliran Sains, adik ikut sahaja. Kali ini berilah sedikit peluang kepada adik untuk buat keputusan sendiri. Pilih bidang apa yang adik mahu ceburi.” Mata Nurul Qaireen mula berkaca. Namun, dia cuba untuk bertahan dari menumpahkan titisan itu.

        “Walaupun kamu ambil sains… Kamu ingat Mummy tidak tahu dalam diam-diam kamu ambil subjek akaun? Kamu ingat Mummy buta? Bodoh? Sampai tidak tahu langsung semua itu. Mummy tahu. Tapi Mummy sengaja diamkan sahaja.”

        Mendengar sahaja kata-kata ibu, Nurul Qaireen terdiam. Terkejut dan terkesima. Tidak disangka, perkara yang selama ini cuba disembunyikannya daripada pengetahuan ibu sebenarnya telah lama diketahui.

        “Kamu pilihlah apa sahaja bidang yang kamu mahu, Mummy tidak kisah… tapi bukan bidang itu.” Ujar Puan Auliya dengan tangan bercekak di pinggang. Dia menghadap Nurul Qaireen.

        “Apa yang salah sebenarnya, kalau adik nak sambung dalam bidang itu.” Nurul Qaireen mendonggak sedikit wajahnya memandang ke arah Puan Auliya.

        “Jadi salah bila Mummy tidak suka.” Terserlah ketegasan pada rauk wajah Puan Auliya.

        “Adik nak ikut jejak langkah Daddy jadi akaunt...

        “Jangan! Kamu tidak boleh ikut jejak langkah Daddy kamu.” Cepat-cepat Puan Auliya memintas kata-kata Nurul Qaireen. Waktu ini, mukanya tampak cemas dan takut. Namun, perubahan wajah itu tidak disedari oleh Nurul Qaireen.

                Berkerut dahi Nurul Qaireen saat mendengar kenyataan Puan Auliya. Dia keliru dan pelik. Hati dan juga minda kini mula tertanya-tanya. Kenapa ibu melarangnya untuk mengikut jejak langkah ayah?

        “Tapi kenapa?” Soal Nurul Qaireen dengan harapan kekeliruan yang mula timbul dapat dirungkai secepat mungkin.

                Pertanyaan itu membuatkan Puan Auliya kelu untuk terus berbicara. Sejurus itu, dia menghela nafas.

                “Kamu tidak perlu tahu kenapa dan mengapa Mummy bertindak begitu. Cukuplah kamu tahu Mummy tidak suka anak-anak Mummy ambil bidang itu.” Puan Auliya merendahkan suaranya. Ada sesuatu yang mengusik kalbunya kini. Jiwanya sebak bila diungkit perihal itu. Lantas dia berpaling membelakangi Nurul Qaireen. Tangan pula dibawa bersilang di dada.

                Untuk melupakan sesuatu yang telah berlaku, ianya terlalu sukar untuk dilakukan oleh Puan Auliya. Kejadian itu benar-benar buat dia mengalami ketakutan dan trauma yang sukar dibendung. Kehilangan, sesuatu yang sukar untuk diterima. Dia cuba tanamkan sifat redha dalam diri tetapi hati kecilnya masih lagi mendesak, masih lagi mempersoalkan mengapa perlu dia yang dipilih untuk menerima semua ujian ini.

               Nurul Qaireen tidak berpuas hati dengan jawapan ibu sebentar tadi. Dia yakin ada sesuatu yang cuba ibu sembunyikan daripada pengetahuannya. Jadi dia perlu cari tahu tentang perkara itu.

        “Tapi adik ada hak untuk tahu kenapa Mummy begitu melarang. Mesti semua ini bersebab. Dan semua sebab itu, adik perlu tahu. Cuba Mummy beritahu adik...” Kata Nurul Qaireen dengan intonasi suara memujuk.

        “Cukup! Mummy tidak mahu cakap lagi tentang semua ini. Keputusan Mummy tetap sama.” Jelas sekali kini Puan Auliya tidak lagi mampu dipujuk.

        “Mummy tetap tidak akan izinkan kamu sambung dalam bidang itu.” Titik keputusan daripada Puan Auliya. Cukuplah sekali ia berlaku, tidak untuk kedua kalinya. Dia tidak sanggup menghadapinya lagi.

             Seraya itu juga, Nurul Qaireen bangun. Dia berdiri memandang ibunya. Ibu masih berkeadaan seperti tadi, berdiri membelakangi dirinya.

        “Kalau Mummy tetap dengan keputusan Mummy… adik pun akan tetap dengan pendirian adik. Adik akan tetap nak ambil bidang itu!” Kata Nurul Qaireen nekad lalu berlari meninggalkan ibunya. Dia tidak mahu lagi bertikam lidah dengan Puan Auliya. Bimbang nanti disebabkan bicaranya, hati ibu akan lebih terguris.

                “Nurul Qaireen!” Sebaik mendengar kata-kata Nurul Qaireen, Puan Auliya pantas berpaling. Namun belum sempat dia meneruskan bicaranya, kelibat Nurul Qaireen sudah semakin menjauh dan akhir hilang di balik tiang.

                Baru sahaja Nurul Qaireen mahu mengangkat kaki untuk mendaki anak tangga, tiba-tiba langkahnya terhenti apabila telinganya menangkap suara lantang Puan Auliya yang kedengaran sedikit melaung. Dia berhenti dari terus menapak. Berselindung di balik dinding yang menjadi penghadang kedudukannya dengan Puan Auliya.

        “Kalau itulah keputusan kamu, terpulang pada kamu. Buatlah apa yang kamu suka. Tapi kamu kena ingat, segala perbelanjaan dan yuran pengajiaan kamu nanti, Mummy tak akan tanggung. Pandai-pandai kamulah cari semua itu.” Laung Puan Auliya. Bicaranya kedengaran seperti satu ugutan. Hanya itu yang terlintas di fikirannya untuk menghalang tindakan Nurul Qaireen.

                Puan Auliya kembali duduk di kerusi. Dia termenung. Fikirannya kini berpusar memikirkan Nurul Qaireen. Anak itu kini sudah berani menentangnya. Entah apa yang mendorongnya untuk dia bertindak sebegitu.

                Puan Auliya meraup wajahnya. Nafas direngus kasar. Fikiran mula berserabut. Hati mula bercelaru. Kebimbangan mula menjengah.

                ‘Adik, andai kamu tahu sebab mengapa Mummy begitu melarang kamu... ikut jejak langkah Daddy kamu, pasti kamu tidak akan berbuat demikian. Tapi Mummy tidak dapat memberitahumu tentang semua itu. Ini semua demi keselamatanmu. Rintih hatinya.

                Nurul Qaireen terus melangkah memanjat anak tangga. Air mata akhirnya menitis jua. Pantas air mata yang mengalir di pipi mulusnya itu disapu menggunakan hujung lengan baju T-shirt panjang yang dipakainya. Tatkala dia sedang melangkah dengan wajah sedikit tertunduk, tiba-tiba laluannya dihalang seseorang. Lantas dia terus mengangkat wajah.

                    ‘Aduh… waktu ini juga dia mahu muncul.’ Desis hatinya.

                 “Adik tak nak cakap apa-apa dengan akak.” Ujar Nurul Qaireen dengan suara serak-serak basah.

               “Siapa nak cakap dengan kau.”  Qaisara mempamerkan muka yang menjengkelkan. Dengan tangan bersilang di dada bersama jelingan mata yang tajam, gayanya nampak begitu angkuh dan sombong.

                Qaisara adalah kakak kapada Nurul Qaireen. Walau bagaimanapun, lagaknya langsung tidak menunjukkan dia sebagai seorang kakak. Qaisara begitu gemar membuli dan menyakiti adiknya itu. Dalam sehari, hatinya tidak akan tenang selagi dia tidak melakukan apa-apa terhadap Nurul Qaireen. Pergaduhan sudah menjadi perkara biasa antara mereka. Perdamaian seakan sukar untuk diraih oleh Nurul Qaireen.

                Apabila pergaduhan tercetus antara mereka, Nurul Qaireenlah yang terpaksa mengalah. Sepatutnya yang tua seharusnya mengalah dan beralah pada yang muda, namun sepanjang hidup Nurul Qaireen, dia tidak pernah merasai semua itu. Yang selalu dia hadapi, hanyalah terus dipersalahkan.

                Nurul Qaireen hanya rasa bebas dari segala ancaman itu apabila dia mula menetap di asrama. Itulah waktu yang paling tenang dan mengembirakan dia. Bebas dari seorang kakak yang entah kenapa begitu membenci dirinya.

                Nurul Qaireen bukanlah seorang lemah. Jika ikutkan kata hati, boleh sahaja dia bangkit bertindak melawan setiap tindakan yang dilakukan oleh Qaisara. Tetapi disebabkan rasa hormat pada seorang insan bernama kakak, dia memilih untuk diam dan bertahan.

                Kakak… kata-katanya, kadang-kala sangat menyakitkan telinga yang mendengar. Malah juga mampu mengguriskan hati seseorang. Dan ‘seseorang’ itu adalah Nurul Qaireen.

                Entah mengapa kakak melayannya sebegitu kejam sekali. Hatta dia tidak pernah sekali pun menyakiti kakak.

                Pukul? Sekali pun dia tidak pernah buat pada kakak. Tapi kakak, bukan sahaja pukul malah sepak pun sudah menjadi suatu hobi baginya.

                Bila ditanya ibu, kenapa kakak memukul dan menyepak Nurul Qaireen, pasti ada sahaja jawapan yang mampu diberikannya untuk mengelak dari terus dipersalahkan. Dengan sikap Nurul Qaireen yang hanya mendiamkan diri, lagi bertambahlah keyakinan ibu dengan apa yang kakak perkatakan itu.

                “Adik malaslah nak bertengkar dengan akak. Dah, tepi sikit. Adik nak naik.” Nurul Qaireen menolak lembut bahu kakaknya. Qaisarah membulat mata. Lantas lengan Nurul Qaireen dipegang. Kuat dan kasar.

                “Sakitlah akak!” Nurul Qaireen mengaduh.

             “Berani kau tolak bahu aku!” Dipulas lengan Nurul Qaireen sebelum ia dilepaskan.

                “Apa yang bising sangat ni?” Soal Puan Auliya yang tiba-tiba muncul di hujung anak tangga, di bawah.

                Sebentar tadi, Puan Auliya ada mendengar suara seseorang mengaduh kesakitan dari arah tangga. Lantas dia berjalan menuju ke arah datangnya suara itu. Sebaik sahaja tiba di tangga, dia melihat Nurul Qaireen dan Qaisara. Tatkala itu, Qaisara sudah melepaskan pegangan tangannya pada lengan Nurul Qaireen.

                “Adik ni… dia tolak kakak tadi. Nasib baik kakak sempat paut lengan dia. Kalau tidak memang tergolek jatuhlah kakak… dekat bawah sana.” Qaisara memuncungkan bibirnya.

                Nurul Qaireen menoleh ke arah Qaisara. Direnung wajah itu. Lalu dia mengeluh. Seperti yang dijangka. Itulah cara Qaisarah membela diri. Bijak dan licik.

                “Dah. Masuk bilik. Lewat malam dah ni.” Arah Puan Auliya.

                Kedua-duanya menurut. Qaisara terlebih dahulu mengatur langkah mendahului Nurul Qaireen.

                “Tepi!” Sempat lagi dilanggarnya bahu Nurul Qaireen. Tidak cukup dengan itu, disekeh pula kepala Nurul Qaireen.

                “Sakitlah…” Nurul Qaireen meletakkan tangannya dia kepala.

                “Kakak.” Tegur Puan Auliya. Kelakuan Qaisara dapat dikesannya.

                “Kakak gurau sahaja.” Ujar Qaisara tanpa menoleh. Dia terus mendaki anak tangga.

                Puan Auliya menggeleng-geleng kepala. Nurul Qaireen hanya memerhati kakaknya pergi. Setelah itu, Nurul Qaireen menoleh ke arah ibunya. Dipandang wajah ibu penuh dengan harapan ibu akan mengubah fikirannya.

                Ketika ini, Puan Auliya juga turut memandang ke arah Nurul Qaireen. Namun pandangannya tidak lama sebelum berlalu meninggalkan Nurul Qaireen tanpa mengeluarkan apa-apa bicara.

********

        “Adik yakin? Sudah buat solat hajat? Istikharah?” Bertubi-tubi pertanyaan daripada si pemanggil di sebelah sana.

                Nurul Qaireen mengangguk kepala walaupun tindakannya itu tidak mampu dilihat oleh si pemanggil itu.

                “Dah. Adik yakin. Hati adik juga rasa lapang dan tenang dengan keputusan yang adik buat. Tapi sekarang ini, Mummy pula yang tidak beri keizinan. Abang rasa, betul ke tindakan adik ini?”

        Seketika tiada suara yang kedengaran di sebelah sana namun panggilan masih lagi bersambung. Nurul Qaireen menanti.

        Pada waktu ini, dia sedang berhubung dengan abang sulungnya, Rafiq yang kini sedang berkerja di Kedutaan Malaysia di Riyadh, Arab Saudi melalui panggilan telefon.

                “Kalau adik nak jawapan berdasarkan pendapat abang... sebetulnya tindakan itu salah. Sebagai seorang anak kita perlu dengar apa yang ibu bapa suruh. Selagi mana ia tidak bertentang dengan ajaran islam, selagi itu juga kita perlu ikut.”

        “Mungkin kita tidak suka… Tapi kita kena ingat, yang kita suka tidak semestinya terbaik untuk kita. Begitu juga perkara yang kita benci, mungkin sebenarnya baik bagi kita.”

        Nurul Qaireen diam. Terpukul dengan nasihat itu. Kata-kata Rafiq ada betulnya. Dia tidak menafikannya. Lantas, dia terus diam membisu.

                “Macam inilah… kalau adik yakin dan adik rasa tenang bila buat keputusan itu. Adik teruskan. Soal Mummy, biarkan abang cuba pujuk pula. Sekarang ini, adik perbanyakkan doa. Minta Allah lembutkan hati Mummy untuk menerima. Manalah tahu, tiba-tiba Mummy berubah hati. Hati manusia ini mudah dibolak-balik oleh Allah, bukan begitu? Kata Rafiq bersama pertanyaan dengan nada berjenaka.

                “Ya… Betul Ustaz. Ana faham.” Nurul Qaireen menyambut jenaka abangnya itu. Ketawa mereka akhirnya pecah. Sedikit sebanyak kegalauan hati dapat diusir seketika.

                Nurul Qaireen bersyukur kerana masih ada yang sudi memahami dan mendengar luahan hatinya. Terima kasih abang, kerana sudi melayan kerenah adikmu ini…

                Seusai memutuskan talian, telefon bimbit diletakkan ke atas meja yang terletak berhampiran dengan katil. Setelah itu, dia melentangkan badannya di atas katil. Mata dibawa memandang siling bilik. Fikiran mula terbang melayang-layang tanpa destinasi. Hati pula berlagu sedih dan sayu.

              Pertengkaran dengan ibunya tadi kembali menjengah. Bukan niatnya untuk membantah hatta menentang kata ibu. Malah untuk melukai hati seorang wanita yang begitu cekal dan tabah dalam mendidik anak-anak setelah pemergiaan suami tercinta untuk selama-lamanya, sama sekali dia tidak tegar untuk berbuat sedemikian.

                  Tapi dia tidak boleh menipu dan menyeksa diri sendiri, kerana yang bakal menanggung semua itu kelak adalah dia. Dia berhak menentu masa depannya. Jadi, sama ada mahu atau pun tidak dia perlu juga pertahankan haknya.

                ‘Mummy… maafkan adik. Jujur, tidak terdetik sekalipun dalam hati ini untuk melukai hatta menyakiti hati kecilmu itu. Adik cuma mahu ibu memahami. Cukup hanya dengan memahami. Adik tidak minta lebih dari itu.’ Hatinya bermonolog sendiri.

                Malam terus berlabuh. Berlabuhlah juga dia bersama kesedihan di hati. Tenanglah duhai hati. Damailah wahai jiwa.


Bersambung…


10.45 PM.