pages

Cerpen: Last Crying

Nukilan: Hidayatun Nadhirah


Awan berarak mendung. Langit bumi bertukar warna. Kelam. Hiba menyelubungi suasana. Semua mata terarah pada satu jasad yang kini sedang menangis hiba. Tersendu-sendu dalam tangisan. Semua yang ada hanya mampu diam. Membiarkan saja dia luahkan segala kedukaan dan kepiluan hati itu.

Nuha di sebelah mengusap-usap bahu dengan harapan semangat mampu disalurkan bagi menguatkan teman yang sedang meratapi pemergian insan yang disayanginya.

"Kenapa begitu cepat Zaim pergi tinggalkan Syifa’?" Dia menyoal bersama tangisan yang masih belum reda.

Sebingkai gambar mempamerkan wajah riangnya bersama Zaim di majlis perkahwinan mereka beberapa bulan yang lalu didakap erat. Dada terasa sebu. Hati terasa seperti dihiris sembilu. Menyakitkan. Pedih!

Semua ni seperti mimpi. Sebuah mimpi ngeri. Argh, tidak! Ini realiti. Sebuah ketetapan yang berlaku menguji kekuatan diri. Menguji kecekalan hati. Menguji keimanan yang sering dituturi. Ini adalah ketetapan yang tidak mampu disangkal lagi. Kerana ia adalah ketetapan hakiki.

"Sabar Syifa’. Allah lebih sayangkan Zaim." Ayuni memujuk.

"Kenapa Allah uji aku macam ni sekali? Aku tak mampu nak hadapi semua ni. Aku tak kuat. Aku lemah. Aku terseksa!"

Syifa’ terus menangis. Terus meratap.

"Andai Allah tu mengetahui, jadi kenapa Allah tetap pilih aku untuk hadapi ujian ini? Dia tahu aku akan terseksa. Aku akan merana atas kehilangan ni…"

Syifa’ hilang pertimbangan. Kesedihan dan kedukaan itu telah membutakan hati sehingga mewujudkan persoalan yang tidak sepatutnya dipersoalkan. Syifa’ bukannya mereka yang tidak kenal agama. Dia tahu agama. Hidupnya berlatarkan ajaran agama.

Namun, harus bagaimana lagi. Semua itu membuktikan dia juga manusia biasa. Yang kadang-kala mempersoalkan mengapa dia yang perlu melalui episod pilu ini. Mengapa dia dipilih untuk diuji dengan ujian mendukakan ini.

Kehilangan Zaim benar-benar memberi kejutan yang hebat buat Syifa’. Kegembiraan yang baru sahaja dikecapi seakan diragut kasar. Impian bersatu dengan Zaim yang baru sahaja digapai musnah begitu sahaja.

Zaim kembali bertemu pencipta-Nya ketika dalam perjalanan pulang dari Amsterdam. Cuti kali ini, dia memilih untuk pulang ke Malaysia. Rindu pada wanita yang baru sahaja diperisterikannya menguatkan lagi keinginan untuk pulang.

Jujur, dia tidak betah bertahan dalam perhubungan jarak jauh. Namun, apakan daya. Tuntutan bagi meneruskan pengajian Sarjana yang berbaki setahun setengah perlu diteruskan. Dia paksa diri untuk bersabar buat seketika waktu. Paksa diri untuk bertahan.

"InshaAllah, jika jodoh panjang, kami akan terus bersatu. Akan terus bersama. Bersabarlah." Itulah kata-kata yang selalu dituturkan bila rindu menghimpit segenap sanubari.

Zaim pulang dengan hasrat yang menggunung. Dia ingin mengembirakan wanita yang dicintainya. Pulangnya juga untuk mengubat rindu yang sekian lama dipendam dan ditahan.

Sesungguhnya manusia tidak mampu menduga apa yang bakal berlaku dalam kehidupan mereka. Semua itu di luar batas keupayaan mereka. Akal manusia tidak mampu membayangkan apa yang belum berlaku pada masa mendatang. Sungguh semua itu hanya berada di dalam pengetahuan Allah SWT.

Tidak ada sesiapa pun yang mengetahui malang tidak berbau bakal berlaku pada hari kejadian termasuklah Zaim.

Ketika dalam penerbangan dari Amsterdam, pesawat yang dinaiki Zaim terhempas jatuh. Tragedi tersebut telah mengorbankan seluruh isinya. Dikhabarkan, 90 peratus daripada ratusan mayat sudah berubah dari segi sifat dan fizikal. Jasad Zaim menerima nasib yang sama. Hilang bentuk asal.

Berita tentang tragedi nahas itu terus tersebar dengan begitu cepat. Sekelip mata. Sebaik sahaja berita itu mengetuk gegendang telinga Syifa’. Dia terus tidak sedarkan diri. Berjam-jam lamanya dia pengsan sebelum bangkit dan terus menangis tanpa henti.

Seminggu berlalu. Namun, Syifa’ masih tetap sama. Berkurung dalam bilik. Menangis sambil memegang baju peninggalan arwah suaminya. Perkara yang sama dilakukan Syifa’ bagi mengisi masanya sejak seminggu yang lalu. Kenalan serta sanak-saudaranya sudah puas memujuk. Walau bagaimanapun, hati Syifa’ masih belum terbuka untuk menerima.

"Percayalah, Syifa’. Kau insan terpilih. Allah tahu kau mampu untuk hadapi semua ini. Allah takkan uji kau melebihi kemampuan kau. Bermakna musibah yang kau hadapi sekarang, kau mampu lalui. Kau mampu atasi. Kau perlu yakin pada diri kau. Kau perlu atasi kesedihan ini."

Qistina tidak ketinggalan beri nasihat berharga buat temannya. Dia menyayangi Syifa’ dengan sepenuh hati. Kerana itu, dia tidak sanggup lagi melihat sahabatnya terus bersedih. Terus bergelumang dalam kedukaan.

Pemergian Zaim sudah berlalu seminggu yang lalu. Namun, Syifa’ masih belum mampu bangkit dari kesedihan itu. Qistina bimbang. Bukan sahaja dia malah sahabat-sahabat yang lain dan ahli keluarga Syifa’ turut berkongsi kebimbangan yang sama.

Syifa’ seperti sengaja memerangkap diri dalam duka laranya. Kerana itu, hari ini sahabat-sahabatnya bersepakat untuk memujuk sekaligus menghilangkan kesedihan yang mengelubungi kehidupan Syifa’. Kali ini mereka perlu bertegas. Syifa’ mesti dikejutkan. Syifa’ perlu sedar dan terima realiti. Syifa’ perlu teruskan kehidupannya. Pemergian Zaim tidak seharusnya terus diratapi.

Syifa’ diam memandang lantai. Semua yang ada di bilik itu memandang satu sama lain. Diam Syifa’ menimbulkan tanda tanya. Adakah hati Syifa’ sudah terpujuk menerima hakikat pemergian Zaim?

“Kamu semua tak rasa apa yang aku rasa. Kamu semua hanya mampu cakap sabar dan sabar je. Tapi aku yang tanggung!” Suara Syifa’ sedikit membentak. Jelas hatinya masih belum terpujuk.

Sekali lagi, mereka yang ada di bilik itu saling berpandangan.

Ayuni yang sedang berdiri mengeluh perlahan.

Nuha diam. Termenung sejenak.

Qistina meraup wajah. Ya Allah, ke situ pula dia menyimpang. Bantu kami ya Allah.

Qistina merenung tajam Syifa’. Kepala ligat memikirkan kata-kata terbaik untuk dilontarkan. Dia menarik nafas dalam-dalam sebelum menghembus keluar. Setelah itu, dia bersuara.

"Ya, kami memang kami tak rasa apa yang kau rasa. Tapi, tu tak bermakna kau boleh sanggah pesan Rasulullah, kesabaran tu pada saat awal berlakunya musibah." Tegas Qistina. Kali ni, tiada lagi tolak ansur. Syifa’ perlu segera disedarkan. Andai hatinya perlu disentap. Qistina akan buat.

Syifa’ terdiam. Terpukul dengan kata-kata Qistina.

"Kehilangan ni pasti ada hikmahnya, Syifa’. Kau perlu usaha untuk bersabar. Usaha untuk terima takdir ni. Bila kau terus bersedih, aku yakin Zaim pun pasti bersedih tengok kau. Kau nak ke sebabkan kau, Zaim tak tenang kat sana?" Qistina kendurkan nada suara. Bertanya dengan tujuan menimbulkan rasa bersalah dalam diri Syifa’.

Syifa’ menggeleng laju. Air mata kembali mengalir. Kesal.

Qistina menarik nafas lega. Sedikit sebanyak hati Syifa’ berjaya diketuk.

Suasana jadi hening seketika. Yang kedengaran hanyalah suara tangis Syifa’. Dia tak lagi menangis sebab sedih atas kehilangan Zaim. Sebaliknya, dia menangis sebab menyesal atas kelanjuran diri. Dia telah meningkah takdir yang Allah tetapkan untuknya. Dia menyesal. Benar-benar menyesal.

"Syifa’, aku yakin kau pernah dengar ayat ni…” Nuha cuba tarik perhatian Syifa’.

Syifa’ menoleh Nuha di sebelah. Direnung Nuha dengan renungan penuh sayu.

“boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik untuk kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk untuk kamu. Dan (ingat), Allah mengetahui (semua itu), sedang kamu tidak mengetahuinya." Sepotong ayat dari surah al-Baqarah diperdengarkan pada Syifa’.

Syifa’ merenungi ayat yang dibaca Nuha.

"Kau masih ingat kata-kata Allah dalam surah Al-Imran ayat 139?" Nuha menyoal lembut. Pipi Syifa’ yang lembab basah dengan air mata disapu perlahan-lahan.

Syifa’ menangguk lemah. Dia diam seketika sebelum bersuara membaca terjemahan ayat 139 Surah Al-Imran yang dimaksudkan Nuha.

"Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah (pula) kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi (darjatnya), jika kamu orang-orang yan beriman."

"Alhamdulillah." Nuha memeluk erat Syifa’.

Tangisan Syifa’ makin kuat bila berada dalam dakapan Nuha.

"Terima kasih sebab tak jemu ada di samping aku. Tak jemu pujuk aku bangkit dari kesedihan ni." Ujar Syifa’ yang masih dalam pelukan Nuha.

"Itu gunanya sahabat, Syifa’. Bukan namanya sahabat kalau tinggalkan sahabat dia sorang-sorang bersedih. Biar suka duka bersama. Bila sorang sakit, yang lain akan terasa sama." Kata Ayuni bersemangat. Dia turut bergerak memeluk Syifa’.

"Ini juga tanda kami cintakan kau, Syifa’. Kami takkan biarkan kecintaan kami terus bersedih. Kami akan usaha sungguh-sungguh, buat kau kembali gembira." Qistina menambah. Dia juga turut memeluk Syifa’.

Kadang-kadang Allah sembunyikan matahari, Dia datangkan petir dan kilat. Kita menangis dan tertanya-tanya ke mana hilangnya matahari, rupa-rupanya Allah hendak memberi kita pelangi.

InshaAllah, apa yang berlaku pasti ada hikmahnya. Tenanglah duhai kekasih hati. Suatu ketika nanti bidadarimu akan menyusulmu nanti.

TEMANGAN, KEL
5 SEPT 2017
6.44 PM


Cerpen: Ya Amigo !

Nukilan: Hidayatun Nadhirah


Petang tu, lepas selesai joging satu pusingan mengelilingi kawasan universiti. Dia ajak aku lepak kat tasik yang terletak tidak jauh dari kolej kediaman kami. Aku setuju. Kebetulan aku pun memang teringin sangat nak ke tasik itu.

"Nak berubah tu bukan senang. Kau ingat aku tak nak ke berubah?" Keluhnya memecah lamunan aku.

Aku yang tengah syok lempar pandangan jauh ke tengah tasik menoleh pandang dia di sebelah. Wajahnya aku renung dalam-dalam.

Dia masih buang pandangan memerhatikan tasik yang terbentang luas di hadapan kami.

Aku memilih untuk berdiam dengan harapan dia akan meneruskan kata-katanya. Dalam benak aku dah muncul pelbagai macam soalan.

"Aku nak berubah tapi bila fikir tentang penerimaan orang terhadap perubahan aku. Tiba-tiba aku jadi takut. Aku jadi tak kuat."

Dia seakan memahami maksud diamku itu. Dia bantu aku rungkai persoalan yang bermain di fikiran.

Aku yang masih memandang dia, terus bersuara.

"Kenapa kau fikir macam tu sedangkan tu hanya sangkaan kau je. Kadang apa yang berlaku tak semestinya sama seperti apa yang kita fikirkan."

"Tapi aku bercakap ni berdasarkan apa yang aku lihat berlaku kat sekeliling aku. Berapa ramai kat luar sana yang nak berubah. Tapi berhenti sebab tak kuat nak hadapi semua ujian yang datang dalam proses mereka nak berubah." Katanya meningkah kata-kata aku.

Aku kemam bibir sambil memikirkan hujah terbaik bagi menyanggah kenyataannya. Bukannya aku nak menang berhujah tapi aku rasa persepsi dia terhadap perubahan perlu diubah. Kalau aku diam bermakna aku mengiyakannya. Walaupun aku tahu semua itu salah.

"Sebenarnya kan... Memang itu sifatnya. Bila kau pilih untuk berubah, bermakna kau pilih untuk diuji. Alah, konsep dia sama dengan konsep beriman. Kau tak boleh cakap kau ni beriman selagi mana kau tak diuji. Ujian itulah tanda aras tahap keimanan seseorang." Ujar aku sebelum diam seketika.

Dalam diam itu, aku tak putus-putus memohon agar Allah pandu kata-kata aku. Setakat ini aku berhujah guna ilmu yang aku belajar. Ilmu yang aku tahu. Namun, tetap dalam diri ada rasa bimbang dan takut andai aku tersalah beri hujah dan akhirnya bakal menimbulkan lebih banyak lagi kekeliruan.. Ya Allah, bantu aku...

Suasana kembali sepi. Aku diam dan dia pun turut sama membisu tanpa beri apa-apa respon. Tapi aku dapat lihat wajahnya. Wajah yang masih belum berpuas hati dengan kata-kata aku tadi.

"Mungkin kau kena renungkan kembali atas alasan apa kau nak berubah?" Aku bersuara kembali.

"Mestilah aku nak berubah kerana Allah. Siapa yang nak terus dalam kejahatan. Hati tak tenang. Jiwa rasa kacau." Dia melonjakkan sedikit suaranya. Dari nada suara, dengar sedikit tidak puas hati.

Aku tarik senyum panjang. Tangan terus bergerak memaut bahunya.

"Nah, bila kata kau berubah kerana Allah. Kau kenalah tahan sedikit bila diuji. Kau pun tahu kan ujian tu datang dari Allah. Ujian yang Allah beri tu tak lain tak bukan tujuannya untuk pastikan betul ke kau berubah kerana Dia. Kalau kau mampu bertahan, terbukti kau betul-betul berubah kerana Dia. Kau betul-betul nak jadi hamba yang taat dan turuti perintah Dia. Jalani hidup sebagai seorang muslim sejati.

Dia yang tadinya duduk sambil memeluk lutut menukarkan posisi. Duduk dalam keadaan bersila. Tangannya memetik-metik rumput kering seterusnya di campak ke hadapan. Telinga terus terpasang mendengar kata-kata aku.

"Tapi bila kau tak tahan. Bila diuji sikit je kau dah tak kuat dan pilih untuk padamkan saja hasrat untuk berubah... kau kena check balik niat sebenar kau berubah."

Aku berhenti seketika mengeimbangi peraliran keluar masuk oksigen dalam badan.

"Bila kau pilih nak berubah, soal dipinggirkan atau lebih teruk lagi dicaci, dikeji, dikutuk... memang kau tak mampu lari. Semua tu kau kena hadap. Aku cakap ni bukan nak takutkan kau sebaliknya aku nak kau tahu hakikatnya. Tapi kau kena percaya, bila kau pilih untuk berubah, kau takkan rugi."

Aku meneruskan kembali penghujahan. Syukur, dia dah berubah sedikit dari sebelum ini. Kali ini, dia lebih memilih untuk diam mendengar berbanding meningkah dan menepis hujah aku.

"Bila orang pinggir, caci, kutuk atau hina kau, apa yang perlu kau buat, kau perlu banyak bersabar. Kau tak dapat lari dari rasa sakit hati dan sedih."

Aku leraikan pautan tangan di bahunya. Memberi ruang untuk badannya bergerak bebas.

"Untuk bersabar pun satu hal... Aku tak rasa aku mampu." Ujarnya sambil tundukkan wajah.

Aku menghela nafas sebelum menghembus keluar.

"Itu masalah kau sebenarnya. Kau terlalu banyak fikir dan bayangkan sesuatu dari sudut negatif. Sebab tu kau takut mencuba. Kau pun tak yakin pada diri kau. Kau mudah hukum diri sendiri. Kau mudah cakap kau tak mampu sedangkan kau tak cuba lagi buat benda tu." Aku cuba kawal emosi. Lontarkan kata-kata dengan nada memujuk namun penuh ketegasan.

"Sifat sabar tu bukannya wujud dengan sendiri. Kau perlu pupuk. Lebih tepat lagi, kau perlu paksa diri kau bersabar. Bila kau rasa nak marah bila diperlakukan begitu, kau kena tahan kemarahan tu. Ya aku tak nafi semua tu bukan mudah. Tapi ia tak mustahil berlaku bila kau cuba dan terus cuba. InshaAllah, Allah ada untuk bantu kau." Aku cuba bangkitkan semangatnya.

"Lagi satu, kenapa kau perlu takut kehilangan kawan-kawan kau bila kau pilih berubah kerana Allah? Bila kau berubah kerana Dia, inshaAllah, Dia akan gantikan kau dengan kawan-kawan yang lebih baik dari sebelum ni. Mereka pun sama seperti kau. Sama-sama nak berubah. Sama-sama nak cari Allah."

Dia terus membatu diri. Bimbang pula aku dibuatnya. Bimbang takut dia terasa dengan kata-kata aku. Dan bimbang juga nasihatku dipandang sepi. Tapi bila fikir balik, terpulanglah pada dia. Sekarang tugas sebagai sahabat, aku dah laksana. Aku dah nasihat. Terpulang pada dia untuk menilai sendiri.

"Em, nantilah aku fikirkan kembali tentang ni."

Aku mengeluh rendah. Akur pada keputusannya. Aku tak mahu lagi memaksa. Tapi aku puas sebab aku dah berjaya luah segalanya yang terbuku di hati.

"Hmm. Okay. Tapi kau kena ingat. Sekali Allah beri kesedaran pada hati untuk berubah, teruslah berubah. Tak usah tangguh-tangguh lagi. Peluang hanya datang sekali."

"Bila kita tangguh atau kita abaikan untuk terus berubah, kemungkinan Allah akan tarik balik rasa untuk berubah tu. Dan yang rugi adalah diri kita sendiri. Bila Allah pilih kita, kita pula dengan sombong tolak nikmat Dia. Bukan ke kita sengaja jadi hamba yang rugi?"

Nasihat terakhir aku untuk dia sebelum dia bangkit sesudah memcuit hidung aku sambil berkata ‘jom balik’.  Dia terus berlalu meninggalkan aku yang terkocoh-kocoh mengejarnya dari belakang.


‘Ya Allah, bantu dia untuk berubah. Pandu dia untuk kembali pada-Mu.’


MACHANG, KEL
3 SEPT 2017
3.38 AM